Monday, June 22, 2020

Qolbi

Rintik-rintik hujan turun basahi bumi, 
Gunung hijau hutan rimba kian berseri,
Namun hatiku masih keruh,
Luka yang lama masih berdarah mengalir... 

Ku kuatkan hati ini memaafkan dia
Namun segala usaha bagai sia-sia
Bagaikan dipaku bertalu
Kata-katanya masih menyakiti aku... 

C/o:

Hati yang pernah terluka
Tak mudah diubati 
Tak mudah dilupuskan 
Dari ingatan ini....

Tuhan tolong berikan 
Berikan kekuatan
Untuk ku meneruskan
Kehidupan ini...... Kehidupan ini... 

حَسْبِيْ رَبِّيْ جَلَّ اللهُ ، مَا فِيْ قَلْبِيْ غَيْرُ اللهِ ، نُوْرُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ
X2

Tetapkanlah hati ini kuat dan kental
Perjalanan masih jauh penuh tentangan
Ujian ini khas untuk ku
Kemampuan ku yang tidak ku ketahui... 

Sabarlah wahai hati ku yang kesedihan
Ini cuma hanya permainan dunia
Kita kan ketawa semula
Bersama teman dan keluarga bahagia di Syurga

C/o:

 Rintik-rintik hujan turun basahi bumi......

Saturday, May 23, 2020

Selamat Hari Raya 2020

Assalamualaikum dan Selamat Hari Raya semua.....
Mohon maaf jika ada terkasar bahasa didalam blog ini. Walaupun raya tahun 2020 ni ada sedikit kelainan, syukur alhamdulillah saya dapat sambut perayaan ini bersama dengan ahli keluarga. Kawan-kawan? Nanti ye, sabar ye. Keselamatan perlu dijaga. Insyallah... Ada rezeki kita berjumpa lagi. 

Thursday, May 21, 2020

Lagu Raya lama-lama juga yang lagi Hook!

Lagi dua hari je nak habis bulan puasa. Sepanjang minggu ini dah bermacam-macam lagu raya yang keluar dari radio. Radio kat dalam office aku pula ada orang yang control. Kena dengar stesen radio kesukaan dia saja. Stesen radio ni pun satu, dah lah buat lawak satu apa pun tak boleh nak ketawa. Pasang lagu berulang-ulang. Lagu rentak muzik terkini konon. Aku pening. Lagi pening dengar lagu raya sekarang yang macam tangkap muat je hasilnya. Nasib baik aku ni ada banyak kerja, tak de lah nak layan sangat radio tu.
Alhamdulillah, ada juga yang bersependapat dengan aku kat office. Akhirnya radio di tutup. Lega. Kitorang pasang pula Spotify, cari lagu-lagu raya dulu-dulu punya. Lagi lega dan tenang. Lagu raya orang dulu-dulu ni ada Feel, ada Soul. Terutama Allahyarham Tan Sri P. Ramli, Suara Takbir dan Dendang Perantau. Berulang kali dimainkan pun tak apa. Tak lupa juga Saloma, Selamat Hari Raya. Banyak lagilah, tapi bukan S. Jibeng dan Black Dog Bone. Aku tak boleh pergi dengan 2 lagu ni. Awal-awal lagi dah kena remove dari senarai Spotify aku.
Tadi aku nyanyi lagu Pulanglah dari penyanyi Aishah. Lantaklah suara tak berapa nak tune. Asalkan hati ini terhibur. Tak boleh nak challenge lah lagu-lagu lama. Auranya lain. Baru aku sedar, aku pun tak pernah cipta lagu raya. Tak pernah terfikir pun. Tapi bagi aku, lagu raya yang ada ni pun dah cukup hebat. Tak lapok dek zaman. Respect and solute dengan orang zaman dahulu, dapat menghasilkan lagu yang akan dikenang sehingga ke generasi yang keseterusnya.

Sunday, May 17, 2020

Menulis lirik lagu cara Kin Aziz

Aku baru menyemak balik lagu-lagu yang aku cipta sejak awal dulu. Rupanya masih banyak yang belum lengkap. Kebanyakannya dari segi lirik. Bukan senang nak cari ilham untuk menulis lirik. Nak cari lirik ni, kita kena banyak membaca, banyak melihat dan memerhati, kena banyak mendengar. Dengar lagu orang lain. Macam rappers seperti Altimet dan Eminem, lirik lagu diorang memang sedap. Senang faham dan senang hafal. Dan jangan sesekali buat perangai depan diorang ni. Dia boleh tulis perangai kita ni jadi lirik, jadi lagu.
Aku baru update beberapa lagu aku yang tak siap tu dan salah satunya Duniawi. Sebenarnya ada cerita disebalik lagu Duniawi.  Lagu ni aku dah cipta lama dah, sejak zaman belajar dulu. Bermula dengan assignment yang lecturer berikan kepada group aku iaitu Environmental Graphics. Kitorang kena study bagaimana seni grafik membawa pengaruh kepada masyarakat. Oleh kerana masa yang diberikan agak suntuk, jadi kitorang merayap disekitar JB hingga ke larut malam. 
Terminal Larkin, lokasi terakhir kitorang malam tu. Sedang kitorang ambil gambar papan tanda dan kaunter tiket bus, tiba-tiba ada sekumpulan kanak-kanak bermain skuter tak jauh dari kitoang. Mereka bermain di terminal Larkin seolah olah tempat itu mereka yang punya, tak sedikit pun hiraukan kitorang. Tiba-tiba kawan aku memberanikan diri mendekati kanak-kanak tadi. Apa yang kawan aku bercakap dengan budak-budak tu aku tak tau, tapi aku syok tengok skuter yang budak-budak tu main. Rasa macam nak cuba main. Kawan aku ajak kumpulan aku berbual dengan kanak-kanak tadi. Kitorang pun mulakan sesi soal-menyoal. Kertas soalan semua dah sedia, rasanya zaman ni siapa yang bergelar student, mesti tahu assignment questioner. Kertas soalan yang diedarkan kepada orang ramai untuk bertanya pendapat. Aku pun mulakan tugas. Masa inilah hati aku terkesan dengan kanak-kanak ni. Mereka tidak tahu membaca dan tidak bersekolah.
Selesai menjalankan tugas, kitorang pun balik. Dalam perjalanan balik, kepala otak aku ligat berfikir tentang kanak-kanak tadi, percakapan yang kasar dan baju compang-camping. Mana mak ayah diorang ni? Kat mana diorang tidur? Siapa yang jaga mereka? Macamana masa depan mereka? Perlahan lahan ritma kesayuan berlagu dikepala ku. Aku mengambil buku nota aku yang sentiasa aku bawa. Aku tuliskan bait-bait kata. Mula-mula hanya puisi. Kemudian aku masukkan ritma. Dan lagu Duniawi pun terhasil.
Emosi memainkan peranan penting untuk menghasilkan lirik dan lagu. Ya, emosi aku sendiri. Jangan hairan apabila tiba-tiba aku cari pen dan kertas lalu menulis sesuatu. Kena cepat-cepat tulis, kalau tidak idea hilang. Idea ni kalau datang macam shooting star, kena cepat rakam sebelum ia hilang. Kadang-kadang kat hujung surat khabar pun aku tulis. Ada sekali tu kat resit. Maka, menulislah insyallah macam-macam idea keluar. 

Thursday, May 14, 2020

Ittifaqiyah

Sekelip mata kau pergi tak kembali
Dalam tragedi menyayat hati
Musnah semuanya musnah
Harapan dan segala mimpi 

Sejenak ku bayangkan wajah suci mu
Putih bersih bersinar sekali
Sungguh kau begitu indah 
Selayaknya hamba Illahi

C/o:
Syurga.... 
Tersergam disana
Hanya menunggu kepulangan mu

Syurga....
Itulah tempat mu
Kekal engkau di alam itu


Dendam amarah meraja dijiwa
Hilang sudah kewarasan mu
Sampai hati kau menggila
Hilang nyawa melayang jauh

Menitis-nitis air mata mengalir
Merelakan perpisahan ini
Sedih sejenak di hati
Tak terdetik akhir begini... 

C/o:
Syurga.... 
Tersergam disana
Hanya menunggu kepulangan mu

Syurga....
Itulah tempat mu
Kekal engkau di alam itu

Sunday, May 10, 2020

Sekadar Menangis

Sekadar menangis
Sekadar mengenangi mu... 

Kan ku menghilang diri... 
Dan kau tak perlu ragu... 
Ku takkan mengganggu mu
Ku akan menyendiri

Kau teruskan hidupmu 
Tanpa bayangan ku
Kau takkan terasakan
Ketiadaan ku

Sekadar menangis.... 

Sekadar Luahan Hati

Hari ini, aku teringat kata-kata dari Pensyarah aku dari Politeknik. Aku bertembung dengannya ketika hari terbuka sekolah pada tahun lepas. 
Pensyarah : So? Awak buat apa sekarang? 
Aku : Graphic designer kat Kilang.... 
Pensyarah : Kilang? Any artwork saya boleh tengok? 
Aku tunjukkan gambar - gambar artwork aku dalam phone. Raut wajahnya seperti tidak berpuas hati. 
Pensyarah : Kin, saya yang bagi awak markah. Saya tahu potensi awak ditahap mana. Saya tak tahu samada saya silap bagi markah atau tidak. 
Seperti satu das tembakan tusuk ke dalam jiwa aku apabila aku dengar ayat tu. Dia kecewa dengan aku. Dan aku pun kecewa dengan diri aku. Aku rasa seperti tidak berguna. Pada masa yang sama, aku juga teringat kemalangan-kemalangan yang menimpa aku semasa aku kecil dahulu. Kenapa tidak satu pun yang meragut nyawa aku? Tiba-tiba aku rasa seperti tidak bersyukur pula. Aku gagal kawal perasaan aku. Dan aku luahkan ke dalam blog yang mungkin hanya 1 per 2 juta orang saja yang ingin baca. Orang yang baca tu pulak bukan orang Melayu. Ah! Sudah!

Sunday, May 3, 2020

PKP make me smile

Sebelum PKP, kehidupan aku sendiri sudah PKP. Sudah lama aku mengamalkan penjarakan sosial. Sudah lama aku tidak berkumpul secara beramai-ramai. Sudah lama tak tengok wayang. Pergi mana-mana shopping mall pun sekejap je. Lepas beli barang keperluan atau buat apa-apa perkara yang penting, balik.
Paling kelakar, sejak aku mula bekerja balik selepas PKP. Semua pekerja mengamalkan tabiat aku selama ni. Makan seorang, jalan seorang, pergi solat seorang, dan pergi toilet pun seorang. Dah tak ada kumpul - kumpul lagi dah. Aku sendiri hairan, kenapa manusia ni suka berkumpul? Aku pun manusia gak, tapi tak ada lah asyik nak berteman. Kemudian kerajaan menasihatkan kita untuk mengamalkan normal yang baru. Penjarakan sosial, minimum jarak sosial 1meter. Ini lagi membuatkan aku tergelak besar. Maknanya tabiat yang aku amalkan selama ini, tabiat yang betullah.
Tiba-tiba aku rasa dunia ini adil untuk ku. Dia yang maha Berkuasa menentukan segalanya, Dia yang maha Mengetahui tahu ada hambanya yang tersiksa, mengalami masalah komunikasi.
Covid-19 mengancam nyawa kita semua, namun kesan dari kedatangannya menyelamatkan sebilangan manusia yang bermasalah seperti aku. Ada hikmah disebalik kejadian ini dan kita perlu belajar daripada hikmah tersebut. 

Saturday, April 25, 2020

Terganggu

Sakit kepala aku datang lagi. Puas aku cuba lelapkan mata, namun gagal juga. Apa yang mengganggu fikiran aku?  Bayangkan kepala dan otak kamu itu radio. Ada lagu yang sentiasa bermain, ada DJ radio yang sentiasa bercakap. Puas kamu cuba cari suis untuk tutup tapi tak juga jumpa. Begitulah yang aku alami selama ini. Selama 24jam sehari, 7hari seminggu. Sebab itu jika ada orang bertanya soalan kepada aku secara spontan, aku susah nak menjawab soalan tersebut. Aku susah nak fokus pada soalan yang diajukan dan aku juga susah nak fokus pada jawapan yang ingin ditujukan. Jangan ajak aku berdebat. Sudah tentu aku kalah. Jangan ajak aku berbual jika ada niat jahat di hati. Kerana sakit hati sukar untuk diubati. Ada yang kata aku mengalami gangguan mental, ada juga yang terus terang cakap aku gila. Mereka tidak mengalami apa yang aku alami. Mereka tidak rasa, apa yang aku rasa. Jangan hairan jika aku melakukan sesuatu yang luar biasa. Suatu masa. Suatu saat. Suatu hari nanti yang aku sendiri berharap ia akan berlaku. Sesuatu yang baik, indah dan bahagia. Sepertimana, mana-mana manusia impikan. 

Thursday, April 16, 2020

In process

Cakap, cakap,
Cakap, cakap,
Cakap, cakap,
Cakap, cakap,
Jap!

Lamborghini nak cakap,
Handbag Gucci nak cakap,
Cartier pun nak cakap,
Semua benda nak cakap....

Wednesday, April 15, 2020

Adakah aku bersedia?

Hari ini, aku sudah mati akal dengan lagu-lagu yang aku cipta ni. Sakit kepala datang dan pergi sesuka hati. Aku tekad sekali lagi taip sesuatu di Google Search. Macam-macam perkataan aku taip. Cipta lagu, Terbit lagu, Hafiz Hamidun, Nasyid....entah apa-apa. Akhirnya keluar satu blog yang agak membantu. Sebelum ini pernah juga hantar email, whatsapp dan FB messenger pada pihak-pihak yang berkaitan dengan penerbitan lagu. Namun tiada satu pun yang balas. Sedih dan hampir putus asa. Mentang-mentang I am Nobody, so kena jadi Somebody dulu lah baru orang balas.

Ok, balik semula pada blog yang aku jumpa ni https://longangarage.com/blog/ Aku baru rasa lega sedikit. Satu persatu page aku baca dan fahamkan. Aku rasa, aku dah jumpa jalan penyelesaian bagi masalah aku. Masalah? Tak, ini bukan Masalah, ini adalah Anugerah. Ia bukan bakat, ia bukan minat, ia adalah Anugerah. Teringat kata-kata Professor Xavier dalam X-Men : Dark Pheonix (Movie). Babak Professor Xavier jumpa Jean Grey buat pertama kali.
I give you a pen, it's a gift from me. And you can do whatever you want with the pen. You can write or pock somebody eye with that pen. It's your pen, it's your gift. It depends on you. You decide, what you want to do with the pen. I guide you and teach you, how to use the pen.

Aku perlukan seseorang seperti Professor Xavier untuk bimbing aku dan tunjukkan bagaimana cara untuk menghasilkan sebuah lagu yang boleh berkumandang di corong radio. Tetapi dalam kehidupan realiti, mana ada orang boleh baca fikiran orang lain. Jadi, aku sendiri kena keluar dan cari sesuatu yang boleh bantu aku. Walaupun terpaksa berkorban sikit. Duit dan tenaga serta sedikit keberanian. Sampai bila aku kena pendam lagu-lagu ciptaan aku ini dalam kepala otak aku sahaja.

Dengan terjumpanya LonganGarage, ia hanya satu permulaan. Setelah berbual panjang dengan agak lama. Apa yang aku faham, penerbitan lagu adalah titik permulaan sebuah pelaburan. Modal yang diperlukan untuk 1 penerbitan lagu sahaja sudah makan tiga per empat gaji bulanan aku. Bayangkan jika ia tidak membuahkan hasil. Apa aku nak makan?

Sudah ada jalan penyelesaian di luar sana, cuma aku yang perlu berani memulakannya.
Ia kekal dongeng, jika engkau tidak mula berjalan, petikan kata-kata dari Teme Abdullah.

Persoalannya, adakah aku sedia untuk berjalan?

Wednesday, March 18, 2020

*Doa Dijauhkan Pelbagai Keburukan*

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

وَعَنْ قُطْبَةَ بْنِ مَالِكٍ  رضى الله عنه  قَالَ: كَانَ رَسُولُ اَللَّهِ  صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ اَلْأَخْلَاقِ, وَالْأَعْمَالِ, وَالْأَهْوَاءِ, وَالْأَدْوَاءِ  

_*Daripada Qutaibah bin Malik RA, Sesungguhnya Rasulullah SAW membaca doa: Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat.*_ (Sunan Tirmidzi no 3591) Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1.  Rasulullah SAW mengajar kita agar sentiasa berdoa dan memohon kepada Allah dalam setiap masa dan keadaan agar dijauhi daripada  sesuatu yang buruk.

2.  Dalam kehidupan manusia, pelbagai akhlak buruk, amal buruk, nafsu buruk, boleh menjadi tabiat kepada seseorang. Begitu juga penyakit berat dan merbahaya boleh menyerang seseorang. 

3.  Rasulullah SAW mengajar kita agar berdoa bagi memohon agar dijauhi daripada perangai yang tidak berakhlak, amal dan pekerjaan yang jahat, nafsu yang buruk serta mendapat penyakit yang berat dan merbahaya. 

4.  Akhlak keji seperti bersifat sombong, hasad, dengki, kedekut, suka berburuk sangka, mengumpat dan sebagainya.

5.  Amal yang mungkar adalah berkaitan dengan anggota tubuh, seperti perbuatan buruk berkaitan lisan dan tulisan, suka mencaci, suka mencela, memukul orang, membunuh, berzina, merompak dan pelbagai dosa besar.

6.  Hawa nafsu yang buruk seperti sombong, bangga diri, ujub dan lain-lain akan menjerumuskan seseorang kepada perkara yang membinasakan, menjadikan seseorang berani untuk melakukan dosa. Firman Allah :

أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَٰهَهُ هَوَاهُ

Terangkanlah kepadaku bagaimana tentang seorang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya? (QS Al-Jatsiyah: 23)

7.  Penyakit berat yang memudaratkan dan merbahaya seperti jangkitan Covid 19, kanser, HIV, jantung, strok dan sebagainya. 

8.  Marilah kita amalkan doa agar dijauhi akhlak yang keji, amalan yang mungkar, hawa nafsu yang buruk serta penyakit-penyakit yang berat termasuk terhindar dari wabak Virus Covid 19:

اَللَّهُمَّ جَنِّبْنِي مُنْكَرَاتِ الْأَخْلاَقِ
وَالْأَعْمَالِ وَالْأَهْوَاءِ وَالْأَدْوَاء

_*Ya Allah, jauhkanlah aku daripada akhlak yang keji, amalan yang munkar, nafsu yang buruk dan pelbagai penyakit yang berat*_     

*Negara Rahmah Ummah Sejahtera*

#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor

18hb Mac  2020
23hb Rejab 1441H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

Ingin menyertai 1 hari 1 hadis dalam bahasa English? Sila klik link di bawah:
https://t.me/ahadithadayAHAD

Friday, March 6, 2020

Dunia ku (Duniawi)

Tunjukkan aku
Satu per satu 
Asal usul ku di mana ku terlahir ke bumi.... 

Mana ibuku.... 
Mana ayahku.... 
Siapa diriku yang tiada pernah hala tuju... 

C/o:
Duniaku.... (duniaku)... 
Penuh liku-liku.... (aahh)...
Kemana arah kan ku tuju.... 

Duniaku... (duniaku)... 
Tiada siapa tahu.... (aahh)... 
Kewujudan ku ke duniawi... 
Duniawi.... 

Aku keliru
Aku dihina
Aku dibenci dan tak ku tahu mengapa...

Bimbinglah aku
Usap rambutku
Belailah daku bagai anak tiada dosa...

C/o:
Duniaku.... (duniaku)... 
Penuh liku-liku.... (aahh)...
Kemana arah kan ku tuju.... 

Duniaku... (duniaku)... 
Tiada siapa tahu.... (aahh)... 
Kewujudan ku ke duniawi... 
Duniawi.... 

 

Duniaku.... (duniaku)... 
Penuh liku-liku.... (aahh)...
Kemana arah kan ku tuju.... 

Duniaku... (duniaku)... 

Tiada siapa tahu.... (aahh)... 
Kewujudan ku ke duniawi... 

Duniawi....  

 

 

 


Saturday, February 22, 2020

in progress

Dimanakah sandiwara yang menjadi hiburan ku
Ku masih lagi memerlukannya
Dimanakah kisah yang tercipta oleh kita
Ku masih lagi memerlukannya... 

C/o
Entah kenapa ku tidak tahu
Benci tapi rindu
Entah kenapa ku masih ragu
Ku cinta padamu

Ku cinta padamu 
Benci tapi rindu... Ooh ooh.. 


Tuesday, February 11, 2020

Balas Keburukan Dengan Kebaikan

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Balas Keburukan Dengan Kebaikan*

عَنْ عَمْرِو بْنِ شُعَيْبٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ جَدِّهِ قَالَ جَاءَ رَجُلٌ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ لِي ذَوِي أَرْحَامٍ أَصِلُ وَيَقْطَعُونَ وَأَعْفُو وَيَظْلِمُونَ وَأُحْسِنُ وَيُسِيئُونَ أَفَأُكَافِئُهُمْ قَالَ لَا إِذًا تُتْرَكُونَ جَمِيعًا وَلَكِنْ خُذْ بِالْفَضْلِ وَصِلْهُمْ فَإِنَّهُ لَنْ يَزَالَ مَعَكَ مِنْ اللَّهِ ظَهِيرٌ مَا كُنْتَ عَلَى ذَلِكَ

_*Daripada 'Amru bin Syu'aib dari bapanya dari datuknya, dia berkata; Seorang laki-laki datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata; "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku mempunyai sanak saudara, aku menyambung silaturahim tetapi mereka memutuskannya, aku memaafkan tetapi mereka berbuat zalim, aku berbuat baik tetapi mereka berbuat jahat, apakah aku harus membalas perbuatan mereka?" maka Baginda SAW menjawab: "Jangan engkau lakukan, dengan begitu bererti engkau tinggalkan mereka semua, tetapi ambillah kebaikannya dan sambunglah hubungan silaturahim dengan mereka, kerana sesungguhnya Allah akan sentiasa memberimu pertolongan selama engkau mampu konsisten begitu."*_ (HR Ahmad No: 6648) Status: Isnad Hasan

*Pengajaran:*

1.  Balaslah keburukan orang lain dengan kebaikan

2.  Orang yang berusaha menghubungkan silaturahim, memaafkan perbuatan orang yang menzaliminya, sentiasa berbuat baik kepada orang lain yang berbuat buruk padanya akan sentiasa mendapat pertolongan dari Allah

3.  Segala amalan ikhlas daripada kita tetap akan mendapat ganjaran dan balasan kebaikan daripada Allah

4.  Islam melarang pelaku buruk dibalas dengan keburukan. Walaupun orang lain memutuskan silaturahim, kita diperintah menghubungkannya. Orang berbuat aniaya serta kezaliman pada kita, kita sewajarnya memaafkan mereka.

_*Dalam hubungan kita berkeluarga dan bermasyarakat, balaslah keburukan dengan kebaikan. Jadilah kita orang yang pemaaf dan penyambung kasih sayang.*_

*Negara Rahmah Ummah Sejahtera*

#SemarakCintaRasul
#SemarakUkhuwahMemacuPerubahan
#MalaysiaMenujuNegaraRahmah
#PertubuhanIKRAMMalaysiaNegeriJohor 

11hb Februari 2020
17hb Jamadil Akhir 1441H

Utk dapatkan 1 Hari 1 Hadis Pertubuhan Ikram Malaysia Negeri Johor, sila klik link di bawah :
telegram.me/hadisharian_ikram

Ingin menyertai 1 hari 1 hadis dalam bahasa Inggeris? Sila klik link di bawah:
https://t.me/ahadithadayAHAD

Thursday, February 6, 2020

Depresi

Kau cuba menahan,
Setiap tangisan,
Makin kau menahan,
Makin kau terkesan,

Setiap usaha,
Hanya kegagalan,
Kau terduduk lemah,
Diatas hamparan,

Kau menangis tapi siapa yang mengerti...
Kau kecewa tapi siapa yang peduli....
Depresi, emosi, kesedihan, sendiri....

C/o
Kau pergi dengan nyawamu....
Kau pergi menghancurkan diri...
Situasi yang kau hadapi...
Kau celaru, kau celaru....

Akhirat didalam tanganmu...
Hanya menunggu kesan dan waktu
Keputusanmu....hanya kamu...
Yang tentukan, yang tentukan...

Lembaga didalam dirimu...
Bagai berontakkan dan tak menentu...
Diskriminasi yang kau rasai...
Tidak adil....tidak adil....

Kau dengar suara,
Umpama peneman,


Ending:
Terkulai sekali lagi.....2x

Tuesday, January 28, 2020

Aku, Si Makhluk Asing

Aku,
Makhluk asing diatas bumi aku sendiri,
Amat berbeza dengan manusia disekelilingku,
Bukan kerana wajahku tetapi permikiranku.

Aku,
Sering kali bersendirian,
Sehingga sikap itu normal bagiku,
Dan apabila berkeramaian, itu janggal bagiku.

Disaat aku didalam dunia aku sendiri,
Aku menjadi tumpuan seseorang,
Dia mendekatiku, tanya namaku...
Dan aku masih ingat dia menghadiahkanku,
sebingkai gambar aku dan dia,
Sahabat selamanya...

Sepuluh tahun bersahabat,
Setiap minggu menulis surat,
Jarak jauh tapi hubungan kami erat,
Aku dan dia tiada apa yang tersirat.

Kami bergaduh,
Kemudian saling menasihati,
Sering ejek-mengejek,
Sering juga memberi kata-kata semangat,
Ada juga selisih faham,
Namun kami cepat bertoleransi,
Kami begitu serasi sekali,
Kebahagian cinta yang begitu indah,
Aku rasa hidup,
Kerana dia sentiasa ada disisiku,

Kini,
Dia sudah tiada,
Dia sudah ada kehidupan yang lebih indah,
bersama insan tercinta.

Aku,
Makhluk asing semula diatas bumi aku sendiri,
Halimunan di khalayak ramai,
Tiada siapa yang bertanya nama....

Sunday, January 26, 2020

Langit itu Biru

Biar....
Biarku terbang.... 
Melangit tinggi... 
Terbanglah bersamaku... 
Melangkah maju... 
Ke langit biru... 

Sunday, January 12, 2020

I'm Ready!

Assalammualaikum....

Saya Kin Aziz. Saya telah mencipta banyak lagu. Malang sekali, saya tidak mahir memainkan sebarang alat muzik. Dan tiada seorang pun ahli keluarga dan kawan-kawan yang mahir dengan apa-apa instrumen. Kebanyakan lagu-lagu saya beritma keagamaan, cendorong kepada irama Nasyid dan sedikit modern. Dan jangan terkejut, bagaimana saya mendapat ilham lagu-lagu ini. Adalah melalui bacaan Al-Quran dan Zikir yang saya amalkan setiap hari. Saya ingin lagu-lagu saya dinyanyikan oleh sebuah kumpulan nasyid. Jika ada yang berminat untuk mendapatkan khidmat saya. Sila tinggalkan email di bahagian komen di bawah, supaya saya boleh hubungi balik.

Terima kasih.

Novel : KABAYAN

Novel ini mengisahkan suasana kehidupan orang muda pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.  Pada mulanya, saya menulis cerita ini ...