Sunday, July 28, 2019

Historia

Gerakan jarimu memetik laguku
Yang lemah yang longlai
Mengikut rentak syahdu

Jeritan suara mu menggegar mindaku
Tersentak seluruh jiwa dan hati...
A...ku disakiti segenap hingga ke sanubari hakiki....

A...ku terkesan dengan caramu...
Terluka dengan curangmu...
Terbeban dengan segala, yang telah kau berikan...
Tertekan dan tertipu
Dengan helah jijikmu...
Uuuu..uu..uu.....

Engkau bahagia begitu
Melihat deritaku
Engkau punya satu tuju
Mendera batinku

Bila kau pergi....
Kau pergi dan tinggalkan diriku...
Yang lemah disini, tersadai sendiri....

Kau bukan engkau....
Yang pernahku kenali dulu...

Dan aku hanya diriku...
Yang pernah kau sakiti dulu...
Yang pernah menyayangi dirimu.....

Thursday, May 16, 2019

Di....

Aku pernah......

Ditipu, Dipermainkan, Diperdayakan, Ditolak, Dipulaukan, Dipukul, Diejek, Dimaki, Ditengking, Dipergunakan, Dikhianati, Dituduh, Difitnah, Diceraikan, Dianiaya, Dihalau, Dibenci, Disangka buruk, Dipisahkan dari anak aku sendiri, Dibiarkan, Disakiti, Dimarahi, Diaibkan, Dimalukan, Diketawakan, Diherdik, Dijeling, Dihina, Dihukum diatas kesalahan kecil, Diperhambakan, Diperkecilkan, Diperbodohkan, dan banyak lagi Dilakukan terhadap aku.....

Setelah ini semua berlaku,
Satu perkara sahaja yang mampu aku buat,

Jangan Putus Asa
Solat + Doa = Tawakal

Aku yakin Allah s.w.t sentiasa ada membantu hamba-Nya yang lemah.

Sunday, May 5, 2019

Ada Mak Cik di Tepi Jalan

Hampir setiap hari, setiap petang, aku ternampak seorang mak cik berjalan seorang diri di tepi jalan ketika balik dari kerja. Pakaiannya sama sahaja setiap hari. Bertudung labuh, berjubah dan berdebu. Dia selalu membawa guni, digendong ke atas belakang badannya. Aku selalu tertanya. Siapa dia? Mana anak-anak dia? Mana suami dia? Apa dia buat di tepi jalan? Mana dia tinggal?

Satu hari aku tekad memberanikan diri untuk bertegur sapa dengan mak cik ni. Tatkala aku ternampak dia, aku memberhentikan kereta.
"Assalammualaikum mak cik....apa khabar?"....
Mak cik tu kelihatan takut apabila aku menyapanya. Dia memalingkan mukanya ke tempat lain. Aku cuba senyum padanya.
"Wa alaikum salam..." Mak cik tu jawab, masih lagi ketakutan.
"Mak cik buat apa kat tepi jalan ni? Bahaya...lori banyak ni...." aku memulakan perbualan.
"Oohh...mak cik kutip barang" sudah ada sedikit senyuman pada wajahnya.
"Kutip barang?" Aku bertanya lagi. Memang aku buat-buat tak faham. Aku nak mak cik tu bercerita lebih banyak lagi.
"Mak cik kutip barang ni nak jual. Nanti dapat duit. Kadang-kadang lori lalu barang terjatuh, mak cik kutip" mak cik menjelaskan situasinya kepada aku sambil tersenyum.

Aku tersenyum mendengar penjelasannya. Kasihan dan bersimpati, sejak hari itu selagi ada duit didalam beg aku bagi. Tak banyak RM5, RM7, kadang-kadang aku bagi makanan.

Namun Mak Cik tu dah tak muncul lagi. Dah 5 bulan berlalu. Esok, sudah bulan Ramadhan. Ingatan aku terhadap mak cik itu semakin jelas, sebab dialah sumber pahala sedekah aku sepanjang bulan Ramadhan. Masih teringat kata-kata terakhir dia pada aku.

"Bila makcik boleh makan nasi minyak engkau dik?"

"Nasi minyak apanyer... calon pun tak de...", aku jawab sambil ketawa.

"Insyallah....ada tu...."

Thursday, March 21, 2019

Cita-cita di Akhirat

Aku amat sibuk kebelakangan ini
Perasaan aku bercampur-baur sekali
Banyak benda aku kena fikir
Banyak benda juga aku terlupa nak buat

Aku rasa begitu lemah sekali
Mereka melihat aku sebagai insan yang bermotivasi
Walhal kehidupan aku sendiri penuh dengan kontroversi

Apa yang aku buat sekarang, membuatkan aku berfikir.
Apakah yang aku akan buat pada masa akan datang?

Selagi rezeki yang aku dapat ini Halal
Selagi aku tidak mengganggu kehidupan orang lain
Selagi hal keperluan keluargaku, aku laksanakan
Selagi solat 5 waktu, aku tunaikan
Selagi ada peluang membuat kebaikan, aku buat
Selagi masih ada kasih sayang dalam kekeluargaan dan persahabatan, aku hargai

Aku rasa...
Apa yang aku buat...masih belum cukup
Masih banyak perkara yang perlu aku belajar
Banyak lagi kekurangan yang ada pada diriku
Dosa lagi berat dari pahala
Cahaya lebih malap berbanding kegelapan

Aku takut, risau dan sedih
Akan ibadah yang aku buat selama ini
Masih cukup atau tidak
Demi mencapai cita-cita Syurga di Akhirat.

Wednesday, May 2, 2018

Hebat . Bebas . Syukur

Sejak hubby aku tinggalkan aku
Aku menangis tersedu-sedu
Makan minum pun tak menentu
Berat badan cecah tiga puluh lima kilogram

Kawan aku Nisa kata padaku
Sudah-sudahlah tu, jom ikut aku
Kita tengok monyet joget dalam zoo
Jika itu dapat hiburkan aku


Korus:
Namun itu empat tahun yang lalu
Aku berubah dari sejak itu
Aku pergi ke mana tempat ku mahu
Aku belajar lagi tambah ilmu

Oh oooo.....Oh ooo 2x
Bebaskanlah!
Bebasnya hidupku.....
Hebatnya hidupku.....4x

La la la la... 
Kita nyanyi
Hiburkan hati yang sedih
La la la la...
Cuba lagi
Hiburkan hati yang sedih

Sejak aku sedar dari tidur ku
Aku nekad tanam azam baru 
Aku tak nak jadi macam dahulu
Bagai hidup segan mati tak mahu

Korus:

Sejak setan itu tinggalkan aku
Aku bersyukur Alhamdulillah
Aku akan terus selalu berdoa
Moga-moga ada jodoh yang baru

Lagu & Lirik oleh Kin Aziz


Tuesday, April 17, 2018

Tak de la Lawa Sangat.....

Leganya apabila dapat meluahkan segala benda yang terpendam dalam blog ni. Rasa macam dapat menjerit diatas sebuah bukit tanpa ada gangguan apa-apa. Tak ada orang sound balik, "Hoi! Gila ke pe?!"

Cakap pasal sound-sound ni, aku teringat apa yang berlaku pada aku tadi. Kejadian berlaku ketika nak balik. Di kilang aku, waktu orang office balik biasanya akan bertembung dengan budak-budak operator. Macam biasa aku berjalan sambil senyum (bukan senyum mengurat, senyum biasa je, tak mesra sangat, tak sombong sangat). Tiba-tiba aku terdengar, "Tak de la lawa sangat..." Sangat dekat dengan telinga aku. Aku perhatikan budak-budak tu berlalu pergi.

Makin aku tersenyum. Aku tak sakit hati pun. Adakah ayat itu ditujukan kepada aku? Entahlah aku pun tak tahu. Wallahu alam. Mungkin ini balasan dosa / ujian untuk aku. Terus-terang, aku rasa tenang dan kelakar. Cepat-cepatlah matang adik-adik oi. Aku doakan untuk korang. 

Monday, April 16, 2018

The Ugly Side of Me

Ada baiknya aku bercerita tentang 'The Ugly Side of Me'. Terus-terang mana ada manusia yang bercerita tentang keburukan diri sendiri. Tetapi aku, ya aku, akan menceritakan apa yang berlaku pada aku pada 2013.
  1. Aku diceraikan.
  2. Anak aku dihantar ke JKM.
  3. Aku dituduh mendera anak. Aku ditahan polis selama 24jam.
  4. Aku dituduh gila. Jadi aku kena menjalani ujian mental seminggu sekali selama 2 bulan. Di Hospital Permai, Tampoi.
  5. Aku jadi hodoh, kusam, lemah dan letih. Aku juga mengalami pendarahan haid lebih dari sebulan. Percaya atau tidak, aku terkena buatan orang.
  6. Aku jatuh tangga pada tahun yang sama dan menyebabkan hentakan kuat pada tulang belakang. Kesannya sampai sekarang masih terasa kesakitannya.
  7. Aku mengalami tekanan darah rendah yang teruk. Banyak kali aku pitam.
  8. Berat badan aku cecah 35kg. Aku jadi kurus dan cengkung.

Boleh dikatakan aku ni hebat juga. Aku masih hidup sampai sekarang. Alhamdulillah....
Dan anak aku akhirnya berada dalam jagaan aku. Hospital Permai mengesahkan keputusan Negatif terhadap aku. Maksudnya aku tidak gila. Kalau aku gila, masakan aku dapat menyandang jawatan Graphics Designer. Setiap minggu, aku kena swimming untuk pulihkan joint tulang belakang aku. Makanan kegemaran aku sekarang sup gearbox dan bakso, bagus untuk orang yang kekurangan darah macam aku.

Kesimpulannya, setiap masalah ada jalan penyelesaiannya. Cuma perlu bersabar, kerana sesetengah masalah itu mengambil masa yang lama untuk selesai.

Sunday, April 15, 2018

Mereka

Amboi...

Bukan main meroyan apa yang aku tulis semalam. Saja tulis-tulis macam ni, sebab aku tau, tak ada sesiapa pun nak baca Blog Kinaka Honey ni. Itu sebab aku berani nak luahkan apa je yang terpendam dalam hati aku ni.

Berbalik pada cerita Suasana Negatif.
Aku dibesarkan dengan suasana negatif. Kata-kata ejekan, usikan dan perli hampir hari-hari aku dengar.
"Kin, boleh tak buat benda yang berfaedah?"
"Kin, boleh tak jadi budak normal?"
"Kin, benda macam ni budak darjah 1 pun boleh buat".....
"Kin, keluarga kita ni tak buat tau kerja macam ni"....

Hina sangat ke jadi Graphics Designer?
Apakah ini sebab aku selalu kehilangan keyakinan diri?
Atau aku sendiri yang bodoh sombong, tidak mahu belajar cara nak hidup dari zaman kanak-kanak aku lagi?

Aku berjanji pada diri aku sendiri, aku akan besarkan anak aku dengan memberikan dia kata-kata semangat, kata-kata hikmah, kata-kata mutiara dan nasihat-nasihat yang berguna. Aku tak mahu dia membesar dengan cara aku dibesarkan. Senang-senang hantar ke tempat orang, dibuli, disabotaj, dipermainkan dan bila balik mengadu sambil menangis teresak-esak. Aku terus menangis sehingga keletihan, baru aku diam. Baru sekarang aku sedar, aku buang masa dengan sia-sia sekali. Tangisan aku selama ini tiada makna apa-apa pada mereka.

Walaubagaimanapun mereka telah membesarkan aku. Aku patut bersyukur, aku masih hidup. Walaupun sakit telinga, aku curi-curi dengar perbualan mereka. Sekurang-kurangnya aku dan anak aku ada tempat tinggal yang selesa, dapat tidur dan rehat. Dan sekarang, giliran aku pula menjaga mereka. Mereka selalu sakit-sakit sekarang dan banyak juga kerja-kerja rumah yang mereka tidak mampu melakukannya lagi. Mereka nak mengumpat, mengata, kutuk belakang aku, biarkanlah. Mereka dah banyak berjasa kepada aku. Lagipun aku dah lama maafkan mereka. Merekalah orang yang paling layak mengutuk dan mengumpat aku.

Ya Allah, berikanlah mereka petunjuk dan hidayah. Dan maafkanlah dosa mereka. Amin.

Saturday, April 14, 2018

Aku Menulis Lagi

Assalammualaikum.....

Wah lama bebenor.... aku tak menulis kat blog Kinaka Honey ni....

Pejam celik pejam celik. Sudah 5 tahun peristiwa itu berlaku. Ya....aku masih tidak dapat melupakannya. Adakala aku pun macam Putus Asa dengan kehidupan aku sendiri. Bila nak mati ni? Aku bertanya sendiri.

Hei! Jangan sangka bukan-bukan dulu. Aku tak ada niat pun nak bunuh diri, cuma aku rasa useless untuk meneruskan kehidupan. Terus-terang, memang aku rasa kesunyian sangat sekarang ni. Nak, nak lagi apabila tengok kawan-kawan aku dengan pasangannya dan anak-anaknya pergi bercuti, berpelukan satu keluarga. Wah....bestnya.... Tetapi perasaan CEMBURU aku sendiri. Tak payah la tanya. Tak elok lagi pun aku meletakkan perasaan negatif ini pada carta #1. Boleh jadi gila kalau melayan sangat benda-benda negatif macam ini.

Anak aku dah semakin cerdik sekarang ni. Macam-macam benda dia tanya. Ya...dia dah mula tanya tentang ayah dia. Syukur...Alhamdulillah...dia seorang budak yang bijak. Dia mudah memahami yang dia perlu berdikari meneruskan kehidupan tanpa seorang ayah.

Hebat sebenarnya dugaan hidup yang Anas kena hadapi. Hebat juga dugaan untuk aku membesarkan anak seorang diri. Insyallah...aku akan kuatkan diri dari segi mental dan fizikal untuk hari-hari yang akan datang.

Soal Jodoh pula, aku serahkan 100% kepada Tuhan. Aku dah tak nak mencari lagi kerana pilihan aku sebelum ini menyusahkan aku seteruk-teruknya. Ya...aku menyesal, itu sebab boleh tercipta lagu Waktu Itu. Ya...aku mencipta lagu lagi tapi masih tak pandai lagi nak main gitar ataupun piano walaupun aku ambil kelas muzik. Aku pun hairan macam mana boleh tercipta sedangkan tiada seorang pun ahli keluarga aku yang mahir dengan alat muzik.

Pelik kan?



Friday, April 6, 2018

Waktu Itu (Lagu ciptaan Kin Aziz)

Dari permulaan, penuh kesukaan
Ku buat pilihan, tanpa kesedaran
Hadirnya musibah, mengubah hidupku
Membuatkan aku semakin keliru,

Ku terlalu lemah, ku terlalu naif
Tiada petunjuk, tiada pembimbing
Ku ingin kembali ke Waktu Itu
Ku pilih Engkau, bukan dunia....

C/o:
Hadirlah....cintaku...
Terimalah....taubatku...x2
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim....

Kukesali semua, kesilapanku
Tiada ku mahu mengulanginya
Tiada ku mahu nasibku begini
Ingin ku tebus segala kesalahan

Namun tiada daya, tiada kesempatan
Masa berlalu begitu pantas
Ku ingin kembali ke Waktu Itu
Mohon hidayahMu bukan hiburan

Ulang C/o

اَسْتَغْفِرُاللهَ الْعَظِيْمُ

2x
Ku ingin kembali ke waktu itu
Mohon hidayahMu bukan hiburan...
Ku ingin kembali ke Waktu Itu
Ku pilih Engkau, bukan dunia....

Ulang C/o

Ku ingin kembali ke Waktu Itu
Disaat Cahaya ada untukku.....



Friday, February 17, 2017

Surah Al-Baqara (2:156)

 ٱلَّذِينَ إِذَآ أَصَٰبَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوٓا۟ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّآ إِلَيْهِ رَٰجِعُونَ 

(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." 

Wednesday, February 15, 2017

Surah Al-Anfaal (8:61)

۞ وَإِن جَنَحُوا۟ لِلسَّلْمِ فَٱجْنَحْ لَهَا وَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّهُۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ٱلْعَلِيمُ 


Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. http://www.muslimpro.com/dl

Tuesday, February 14, 2017

Selesaikan Pertelingkahan antara Orang Islam. Surah Al-Hujuraat (49:10)

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا۟ بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ 

Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. http://www.muslimpro.com/dl

Thursday, January 19, 2017

Bahaya Berhutang & Doa Mengelak Hutang

Sahih al-Bukhori:2222

عَنْ عَائِشَة رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا: أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَدْعُو فِي الصَّلاَةِ وَيَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْمَأْثَمِ وَالْمَغْرَمِ.

فَقَالَ لَهُ قَائِلٌ: مَا أَكْثَرَ مَا تَسْتَعِيذُ يَا رَسُولَ اللَّهِ مِنْ الْمَغْرَمِ؟ قَالَ: إِنَّ الرَّجُلَ إِذَا غَرِمَ حَدَّثَ فَكَذَبَ وَوَعَدَ فَأَخْلَفَ.

Dari Aisyah ra: Bahwa Rasulullah saw berdoa dalam shalat, beliau membaca:

Ya Allah aku berlindung kepada-Mu dari berbuat dosa dan terlilit hutang.

Lalu ada seseorang yang bertanya: Mengapa engkau banyak meminta perlindungan dari hutang, wahai Rasulullah? Beliau menjawab: Sesungguhnya seseorang apabila berhutang, jika berbicara dia berdusta dan jika berjanji dia tidak menepatinya.

Pesan :

Rasulullah berdoa memohon perlindungan kepada Allah dari terlilit hutang. Beliau menjelaskan bahwa seseorang yang berhutang akan berdusta dan tidak menepati janjinya. Dapat kita lihat contohnya di zaman ini, saat seseorang yang berhutang ditagih, ia akan mencari-cari alasan agar tidak membayar hutangnya di saat itu, atau dia berjanji dengan mengatakan: Minggu depan saya bayar. Setelah satu minggu berlalu, ketika ditagih orang itu tidak menepati janjinya lagi dan memilih untuk berdusta dan mengarang alasan. Nauzubillah. Karena bahaya dosa yang bisa disebabkan karena hutang, kita dianjurkan untuk meminta perlindungan pada Allah dari terlilit hutang.

via Satu Hari Satu Hadis Download aplikasi Satu Hari Satu Hadis di sini : http://bit.ly/satuharisatuhadis

Monday, December 12, 2016

Surah Yasin, ayat 36 (Doa Cari Jodoh)

سُبْحَانَ الَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا مِمَّا تُنْبِتُ الْأَرْضُ وَمِنْ أَنْفُسِهِمْ وَمِمَّا لَا يَعْلَمُونَ 

Subhana allathee khalaqa alazwaja kullaha mimma tunbitu alardu wamin anfusihim wamimma la yaAAlamoona

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.
#muslimpro muslimpro.com

Baca 3x setiap pagi, dibawah langit yang luas terbuka.

PS: Petua ini pernah saya amalkan. Ramai yang tiba-tiba ingin berkenalan dengan saya. Namun, perlu berhati-hati. Amalkan solat Hajat, Tahajud dan Istikharah selalu untuk memohon petunjuk.

Sunday, December 11, 2016

Surah Az Zukhruf, ayat 13 - 14. (Doa Naik Kenderaan)

لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ 

Litastawoo AAala thuhoorihi thumma tathkuroo niAAmata rabbikum itha istawaytum AAalayhi wataqooloo subhana allathee sakhkhara lana hatha wama kunna lahu muqrineena

Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:" Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya

Sambungannya...
وَإِنَّآ إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ 
Wainna ila rabbina lamunqaliboona

"Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!"

#muslimpro muslimpro.com

Thursday, December 1, 2016

Surah Al-Hujurat, ayat 13

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ 
Ya ayyuha alnnasu inna khalaqnakum min thakarin waontha wajaAAalnakum shuAAooban waqabaila litaAAarafoo inna akramakum AAinda Allahi atqakum inna Allaha AAaleemun khabeerun  
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

#muslimpro muslimpro.com

Novel : KABAYAN

Novel ini mengisahkan suasana kehidupan orang muda pada zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.  Pada mulanya, saya menulis cerita ini ...