*Cerita ini hanya pembayang sahaja*
Suatu hari, aku mendapati diriku sudah tidak bernyawa lagi. Aku dapat merasakan tubuhku tidak dapat bergerak lagi. Aku dimandikan, dikapankan dan disolatkan. Kemudian aku dibawa ke sebuah tempat. Sudah ada liang lahad tersedia untuk aku. Aku ditanam dan ditalkinkan.
Aku sudah berada di dunia lain. Gelap. Tidak ada sebutir cahaya pun. Tiba-tiba ada sesuatu yang menjelma di hadapanku. Munkar dan Nakir? Ya, Munkar dan Nakir. Tubuhnya besar dan menakutkan. Tiada tanda keramahan langsung pada wajahnya yang bengis.
MANROBBUKA?!!!
Tiba-tiba aku diherdik tanpa disangka. Suaranya amat garau dan kuat. Aku menangis ketakutan.
MA DINUKA?!!!
Aku ditengking lagi.
MAN NABIYYUKA?!!!
Adakah ini soalan di Alam Barzakh? Aku tertanya-tanya.
MA KITABUKA?!!!
Mengapa aku tidak dapat menjawabnya?
AINA QIBLATUKA?!!!
Aku menangis lagi kerana ketakutan.
MAN IKHWANNUKA?!!!
Sudah! Cukup! Aku takut. Tolong! Sesiapa! Tolonglah aku! Aku tidak daya berdiri lagi, seluruh tubuhku lemah dan menggigil. Namun, aku tidak boleh duduk mahupun berbaring. Aku...aku tak tahu apa yang perlu aku buat.
Tiba-tiba, ada cahaya disebelah kanan ku. Seorang pemuda. Putih, bersih dan bercahaya. Dia pun melangkah ke hadapan. Berdepan dengan malaikat Munkar dan Nakir. Satu-persatu soalan tadi dijawab dengan tenang dan berani sekali. Tindakan pemuda itu seolah-olah mempertahankan aku. Persis seorang peguam mempertahankan anak guamnya didalam mahkamah. Beransur-ansur aku kembali tenang. Kedua malaikat itupun perlahan-lahan menghilangkan diri. Pemuda itu pula menghadap aku. Malu seketika dengan keadaan aku sebegini. Aku pun tidak tahu keadaan rupa aku sendiri. Comotkah? Busukkah? Tidak dapat bergerak dan tiada cermin untuk dilihat. Pemuda itu senyum pada ku.
"Kau siapa?" Aku memberanikan diri untuk bertanya.
"Lupakah kau? Setiap malam engkau mendampingi aku..." jawab pemuda itu. Aku terkejut, kerana aku tidak pernah nampak pemuda itu sepanjang hidup ku.
"Kau siapa?" aku bertanya lagi kerana mahukan jawapan yang sebenar.
"Lupakah kau? Setiap kali taman syurga terbuka, engkau akan menghadirinya sambil memegang tanganku..." aku semakin keliru, taman syurga? Berpegangan tangan?
"Maaf, siapakah kau?" aku bertanya lagi, moga dapat menghentikan kekeliruan ini.
"Sudah tiba masa untuk engkau berehat. Rehatlah. Aku akan datang lagi menemani mu kelak. Akulah Al-Quran" akhir kata pemuda itu sambil tersenyum. Dan aku pun terlelap. Tamat.
*Setiap malam engkau mendampingi aku - dimaksudkan ayat-ayat Al-Quran yang diamalkan.
*taman syurga - majlis ilmu