Tidak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba anak aku
berlari-lari ke arahku sambil menangis-nangis.
“Ibu, ibu...erm..erm..”, raungnya sambil memeluk erat
tubuhku.
“Kenapa sayang?”, tanyaku dengan lembut.
“Kawan-kawan abang cakap, abang tak da ayah” Naik mendidih
seluruh darah dari tubuhku sebaik sahaja aku mendengar aduan anak aku. Sampai hati
mereka menyakitkan hati anak kecil ini. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja aku cabut
gigi-gigi budak-budak yang telah mengganggu anak kecil ini. Namun, apabila
melihat anak aku menangis , aku pun tidak dapat menahan airmata yang sudah
bergenang di mata ini.
“Apalagi yang kawan-kawan abang cakap pada abang?”, tanyaku
lagi.
“Ayah abang tak suka abang, tak suka ibu. Sebab itu, ayah
tinggalkan kita....”
Astaghfirrullah hal’azim.....besar sungguh dugaan si anak
kecil ini. Aku mengusap-usap lembut kepala anakku, seraya membantunya
menenangkan diri.
“Ibu...” Tiba-tiba anakku bersuara.
“Ya, sayang, apa dia?”
“Mana ayah?” Aku terkesima. Walhal, aku sudah jangka, suatu
hari nanti pasti anak aku akan bertanya tentang ayahnya. Tetapi, aku jangka
apabila anak aku sudah berumur 7 atau 10 tahun bukan berumur 5 tahun.
“Jom! Abang, kita duduk atas buai,” Segera aku matikan
apa-apa yang sedang aku masak tadi. Sudah tiba masanya untuk aku menerangkan
sesuatu kepada anak aku. Nak terangkan sesuatu yang drastik ini, mesti kena
pada tempatnya. DAPUR, amatlah tidak sesuai. Ada pisau, ada batu lesung, ada
api dan macam-macam lagi benda yang berbahaya.
Anak aku dan aku pun duduk diatas buaian sambil memandang ke
arah pokok-pokok di halaman rumah. Ada rama-rama berterbangan dan anak-anak
kucing sedang bermain-main sambil diperhatikan ibu kucing. Tenang sedikit dari
suasana dapur.
“Ibu, ayah mana?” Tanya anak aku lagi. Sifat ingin tahunya
sudah mengatasi kesabarannya.
“Abang, sebenarnya ibu tidak tahu kemana ayah abang pergi. Entah
hidup, entah mati, ibu tak tahu. Abang, ayah abang dulu adalah seorang lelaki
yang baik. Tetapi sayang, ayah abang berubah sedikit demi sedikit sejak berkawan
dengan orang-orang jahat,”
“Orang jahat?!” Sergah anak aku. Alamak, aku bimbang aku
sakitkan hati anak aku. Ya Allah, kurniakanlah aku kebijaksanaan bertutur kata.
Amin.
|
Anakku |
“Erm, abang tahu ciri-ciri orang jahat? Orang jahat tu
macamana?”
“Tau! Orang jahat tu nanti polis tangkap,” Alahai jawapan
daripada budak kecil, mesti dari pengaruh TV ni.
“Betul, tapi kenapa orang jahat kena tangkap?” Aku bertanya
lagi.
“Erm, sebab mencuri?”
“Betul, lagi?” Anak aku mengangkat kedua-dua bahunya sambil
menggelengkan kepala, tanda tidak tau.
“Orang jahat selalu menipu, hasad dengki, bercakap tentang
benda-benda tak elok, suka sakitkan hati orang, mementingkan diri-sendiri,
menyeksa orang, menyeksa binatang.....”
“Banyaknya....” Anak aku memotong kata-kataku, pening
agaknya.
“Memang banyak...kalau ibu nak terangkan lagi, sampai umur
abang 21 tahun pun tak habis-habis,”
“Jadi, macamana abang nak jumpa ayah?” Kali ini, aku tarik
nafas sedalam-dalamnya. Sambil menanamkan benih sabar.
“Abang, bukanlah tanggungjawab abang untuk mencari dan
berjumpa dengan ayah. Sebaliknya, ayahlah yang kena pikul tanggungjawab mencari
dan berjumpa dengan abang. Kerana abang masih kecil. Apa yang abang perlukan
sekarang adalah didikan agama, makanan yang sihat dan botol susu!” Aku bergurau
dengan cuba merampas botol susu daripada tangan anak aku. Tak dapat. Anak aku
lagi cekap mempertahankan botol susunya. Sudah terukir sikit senyuman diwajahnya.
“Tapi kawan-kawan abang semua ada ayah, abang takda,”
Wajahnya kembali muram.
“Kalau begitu, nanti bila ayah diorang dah tua, diorang pula
kena jaga ayah diorang, macam dalam TV tu,” Tiba-tiba aku dapat idea.
“Ha’ah lah...macam ibu kena jaga atok. Eh! Ibu pun kena jaga
nenek kan,” Akhirnya, anak aku dapat dipujuk.
“Shi-shi, yak-yak pun ibu kena bersihkan tau,” Tambah aku
lagi sambil menunjukkan muka sedih.
“Eeee....shi-shi, yak-yak, busuk.... nanti abang dah besar,
abang jaga ibu jelah, sebab ayah tak da!”
“Betul! Subhannallah, bijaknya anak ibu. Nanti kalau kawan-kawan
abang kacau, abang nak buat apa?” Soalku lagi.
“Erm.....” Anak aku berfikir panjang. Namun tiada jawapan.
“Abang cakaplah, nanti awak dah besar, awak kena jaga ayah
dan ibu, abang jaga ibu abang je,” Sampuk aku membantunya berfikir.
“Ok, nanti abang cakap macam tu,” Balas anak aku sambil
memeluk aku. Aku peluk erat si anak kecil ini. Kasihan, seorang anak yatim yang
bijak.
“Ibu....nanti, bila ibu dah tua. Ibu janganlah shi-shi dan
yak-yak...” Sempat anak aku bisik ke telinga aku sebelum dia leraikan pelukan
dan terus masuk ke dalam rumah. Yang ini, aku malas nak komen. Tamat.